Jenazah Pengarah Yasmin Ahmad disemadikan di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya


SUBANG JAYA: Jenazah pengarah filem dan iklan terkenal, Allahyarhamah Yasmin Ahmad selamat disemadikan di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya sebelum waktu Zohor sebentar tadi.

Sebelum itu jenazah arwah Yasmin Ahmad telah dibawa ke masjid Abu Bakar As-Siddiq di SS19, Subang Jaya untuk dimandikan dan disembahyangkan, yang diketuai oleh Imam Ustaz Ahmad Salim dan bilal Ustaz Mohamad Soen.

Yasmin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di otak malam tadi sekitar pukul 11.26 malam di Hospital Pakar Damansara.

Turut hadir pada majlis pengebumian ini bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Seri Farid Ridzuan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Tony Fernandes

Antara rakan-rakan artis serta sahabat handai Arwah Yasmin yang hadir ke majlis pengebumian ini ialah , Fatimah Abu Bakar, Rosyam Nor, Pengarah filem, Amir Muhammad, Jaclyn Victor, Sharifah Amani, Suhaimi Baba, Tan Karhoe (pelakon filem Telentime), Low Ngai Yuen, Jo Kukathas, Ho Yu Hang, penggiat teater, Fahmy Fadzil dan penyanyi/penulis lagu, Pete Teo.



Berikut adalah kronologi majlis pengebumian jenazah Yasmin Ahmad.

9.30 pagi: Kereta jenazah bertolak dari rumah Arwah Yasmin di 42, Jalan SS22/5D, Subang Jaya.

9.50 pagi: Kereta jenazah tiba di masjid Abu Bakar As-Siddiq di SS19, Subang jaya.

10 pagi: Bacaan Yassin dari ahli keluarga dan semua yang hadir dijalankan.

11.05 pagi: Persiapan untuk menyembahyangkan jenazah sedang dibuat. Selepas jenazah disembahyangkan, orang ramai dibenarkan untuk memberi pernghormatan terakhir kepada Arwah Yasmin Ahmad.

11.38 pagi: Jenazah sedang disembahyangkan.

11.52 pagi: Sembahyang jenazah baru sahaja selesai dan jenazah kini sedang dalam perjalanan ke Tanah Perkuburan USJ 20.

12.46 tengahari: Jenazah Yasmin Ahmad telah selamat disemadikan dan bacaan talkin sedang dijalankan.

Berita selanjutnya selepas ini.

Berita terdahulu

Pengarah Yasmin Ahmad meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam ini di Hospital Pakar Damansara.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di Hospital Pakar Damansara.

Yasmin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di otak.

Suaminya, Tan Yew Leong, Dr.Zakaria Zahri (adik ipar) dan Datin Orked (adik), Dr. Zurin turut berada di sisi Allahyarhamah ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah pengarah tersohor ini akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid SS19, Subang Jaya sebelum solat Zohor, esok (26 Julai), manakala tempat pengebumian masih belum ditetapkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh rakan baik Allahyarhamah, iaitu pelakon Fatimah Abu Bakar yang mewakili keluarga pengarah itu, pada sidang media yang dibuat di hospital tersebut, sebentar tadi.

Fatimah juga meminta kepada semua peminat Yasmin untuk turut menyertai solat jenazah serta mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di sisi orang beriman.

Pihak media juga diminta untuk tidak mengganggu ahli keluarga Yasmin buat masa ini yang masih bersedih dengan kematian pengarah itu.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Datuk Seri Farid Ridzuan dan adik iparnya, Dr. Zakaria Zahri.

Yasmin, 51, rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, pada Khamis dan dikejarkan ke hospital berkenaan.

Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.






0 comments:

Post a Comment