Isteri tak sangka,gurauan Syukeri Hashim menempah kubur jadi kenyataan


KUALA LUMPUR: Balu pelakon Shukery Hashim berkata dia tidak menyangka bahawa gurauan suaminya menempah kubur daripada seorang penjaga kubur di Tanah Perkuburan Islam AU Keramat di sini merupakan satu petanda yang beliau akan pergi buat selama-lamanya.

Kata Faridah Mat Desa, 51, ketika itu Allahyarham menziarahi kubur ibunya pada Mac lepas dan bergurau dengan seorang penjaga di tanah perkuburan itu.

"Saya ingat dia bergurau. Dia (Allahyarham) cakap pada penjaga tu yang dia nak tempah kubur, penjaga tu tanya untuk siapa dan dia cakap untuk dirinya," kata Faridah seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Jenazah Shukery, 55, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Keramat, Ampang kira-kira pukul 6.30 petang tadi.

Allahyarham Shukery meninggal dunia pada pukul 1.15 petang tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, akibat kanser pankreas yang dialaminya sejak tiga bulan lalu.

Terdahulu, jenazah dimandikan dan disembahyangkan di kediamannya di Taman Fairuza, Ampang.

Shukery pernah dimasukkan ke HUKM pada 4 Mei lalu untuk rawatan lanjut selepas menjalani pembedahan selama enam jam di Hospital Selayang pada 24 April lalu.

Arwah meninggalkan lima orang anak iaitu Nur Syikin, 28, Nur Ezity, 27, Mohd Firdza, 25, Mohd Aidi, 21 dan Mohd Amirul, 14, serta tiga orang cucu perempuan berusia dua tahun, tiga bulan dan dua bulan.

Menurut Faridah, suaminya yang menghidap penyakit itu sejak sekian lama, dimasukkan ke Hospital Ampang pada Mac lepas sebelum dipindahkan ke Hospital Selayang.

"Dia berada di Hospital Ampang sehari sahaja dan dia minta nak balik rumah. Selepas seminggu berada di rumah, dia mengadu sakit dan dimasukkan ke Hospital Selayang pula," katanya.

Faridah berkata pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor menunjukkan terdapat ketumbuhan pada pankreas suaminya, dan Allahyarham meminta untuk menangguhkan rawatan kemoterapi.

Katanya selepas keluar dari hospital beberapa hari, suaminya sekali lagi mengadu sakit dan dimasukkan pula ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Selasa lepas sebelum dipindahkan ke HUKM pada Jumaat.

"Dia tak mahu buat kemoterapi sebab dia nak tengok adik dia buat kenduri kahwin Jumaat lepas. Malam Jumaat lepas dia mengadu sakit kaki dan rasa kebas dan dimasukkan ke HUKM," katanya.

Faridah berkata sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham sempat memohon maaf kepada semua anggota keluarga dan rakanrakannya serta meninggalkan pesan kepadanya untuk memberi perhatian yang lebih kepada anak bongsunya.

Beliau berkata hajat terakhir Allahyarham yang tidak sempat ditunaikan ialah untuk menunaikan umrah hujung tahun ini sebelum menunaikan fardu haji bersama-sama.

Aktor Rosyam Nor pula berkata kali terakhir beliau bertemu dengan Allahyarham ialah semasa Allahyarham keluar dari Hospital Selayang.

"Saya nampak dia tengah tahan sakit. Dia ada cakap pada saya, bila kita sakit semua kita nak makan dan nak rasa nikmat yang Tuhan bagi," katanya.

Rosyam berkata, beliau mengenali Allahyarham sejak berusia 18 tahun dan mereka telah banyak berlakon bersama dalam drama dan filem.

Beberapa orang rakan artis lain yang turut hadir termasuk Datuk Jins Shamsudin, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Yusof Haslam, Datuk Aziz Satar, dan Norlia Ghani.

Allahyarham Shukery adalah salah seorang pelakon drama yang popular. Arwah selalu menunjukkan lakonannya yang hidup dan penuh penghayatan.

Antara drama tempatan yang pernah dibintanginya ialah Di Mana Kasihmu, Kau Yang Satu, Cinta Gila dan 3T manakala antara filem yang dilakonkannya adalah Seri Dewi Malam, dan Shh..Dia Datang.

Shukery dilahirkan pada tahun 1954 dan merupakan anak jati Langkawi. Beliau mendapat pendidikan di merata tempat termasuk Sekolah St Michael, Alor Setar dan Sekolah Jalan Raja Muda yang dulunya dikenali dengan Princess Road School.

Walaupun mula berlakon pada 1984, arwah sebenarnya sudah terbabit dalam drama radio sejak 1975 di RTM.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Shukery sudah menerima tiga anugerah yang diiktiraf sebagai terbaik dalam industri seni di Malaysia iaitu Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990; Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular 1994 (1995).

0 comments:

Post a Comment