Norman masih bermalam di rumah Abby


WALAUPUN secara rasminya melafazkan penceraian pada penghujung tahun lalu, namun muncul pula sebuah 'drama' baru apabila aktor Norman Hakim tanpa berselindung mengakui masih tidur di rumah bekas isterinya, Abby Abadi.

Selain sesekali singgah di teratak yang menyimpan pelbagai memori bersama bekas isterinya di Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur itu, Norman juga akan bermalam di sana jika keadaan mengizinkan.

Apakah Norman tidak serik-serik lagi dengan kes tangkapan khalwat sebelum ini. Belum habis perbicaraannya, namun Norman sudah berani membuat hal semula?

Jangan cepat membuat sebarang andaian melulu. Norman sebenarnya tidur di rumah itu apabila bekas isterinya tiada di rumah dan keluar menjalani penggambaran di luar kota selama beberapa hari.

Norman yang sarat naluri kebapaan dengan perasaan senang hati menawarkan diri untuk menjaga anak-anaknya yang masih kecil, sementara Abby pergi menunaikan kewajipan sebagai pelakon.

Menurut Norman, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang bapa untuk memerhatikan cahaya matanya walaupun dia dan Abby sudah tidak lagi tinggal sebumbung.

"Rutin menghantar anak-anak ke sekolah juga sudah menjadi tugas saya setiap hari jika tidak terlibat dengan komitmen penggambaran.

"Saya tidak sepatutnya memutuskan ikatan dengan anak-anak walaupun apa jua perkara yang menimpa terhadap perhubungan saya dengan bekas isteri.

"Lagipun saya juga masih ada perhubungan yang baik dengan bekas keluarga mentua. Saya rasa bersyukur kerana masih dapat menjaga anak-anak dengan baik apatah lagi saya masih bapa kepada mereka.

"Hubungan saya dengan Abby juga masih baik apabila kami sering berinteraksi dan berbincang panjang lebar tentang perkembangan anak-anak yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Alhamdulillah, kami dapat berkomunikasi secara senyap tanpa perlu diketahui atau didedahkan kepada orang luar.

"Biarpun begitu, saya harus mengucapkan terima kasih kepada Abby kerana begitu memahami keadaan saya sekarang ditambah dengan saya yang sibuk dengan kes perbicaraan," katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Sambung lelaki berusia 32 tahun itu, banyak perkara yang dapat diperhatikan sepanjang pelbagai kisah hidupnya sama ada yang baik mahupun buruk dijaja oleh orang di sekelilingnya.

"Saya anggap kehidupan ibarat sebahagian proses pembelajaran untuk saya lebih kuat meneruskan hari-hari mendatang.

"Sepanjang kes perbicaraan ini berjalan, saya banyak mengenali individu-individu baru yang kini saya anggap sebagai kenalan.

"Mereka (peguam dan pegawai mahkamah lain) umpama buku yang tidak perlu saya baca lagi, sebaliknya mereka banyak memberi panduan dan pengetahuan kepada saya dalam melayari hidup yang penuh berliku ini.

"Insya-Allah, kalau kes perbicaraan ini berakhir dengan selamat, saya akan mengadakan majlis kenduri dengan menjemput kawan-kawan baru yang dikenali sepanjang tempoh kes saya diperdengarkan di mahkamah," ikrar Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon.

Bercerita lebih lanjut tentang perbicaraan pada hari itu, ada riak gementar yang terlihat di wajah Norman yang kelihatan segak mengenakan sepersalinan pakaian berwarna putih.

"Ini kali pertama saya berdepan dengan pengalaman perbicaraan yang memakan waktu yang panjang. Cuma saya memohon maaf sebab tidak boleh mengulas lebih terperinci tentang perkara yang berlaku dalam mahkamah.

"Saya akur dan memahami prosedur jabatan agama dan mahkamah yang menetapkan peraturan agar kami tidak memberikan maklumat kepada pihak media dan orang ramai berhubung perkara yang dibahaskan semasa perbicaraan sedang berlangsung.

"Masing-masing cuma bersikap profesional dalam soal ini dan saya sendiri mempercayai kredibiliti peguam yang diamanahkan menjalankan tugas mereka dalam menegakkan keadilan.

"Jangan risau, nanti kalau semuanya sudah selesai, saya akan menjelaskan perkara sebenar yang berlaku semasa kes kami dibicarakan," janji Norman bersungguh-sungguh.

Perbicaraan itu diadakan bagi mengadili kes tangkapan khalwat Norman bersama pelakon baru, Memey Suhaiza pada 30 Oktober lalu.

0 comments:

Post a Comment