Dulu nasik Kangkang,sekarang Air kangkang pulak..yakss

KUALA LUMPUR: Seorang isteri tergamak menggunakan darah haidnya dan cecair yang dikatakan air mani gajah untuk menyihir suami supaya menurut segala perintahnya, manakala dia bebas melakukan apa saja.

Selain dua bahan jijik itu, isteri durjana berkenaan turut menggunakan minyak pengasih, tangkal pengikat nafsu dan wafak (gambar rajah yang dilukis di atas kain kuning dalam bentuk tulisan Jawi dengan menggunakan kalimah Allah) supaya dia kelihatan hebat pada pandangan orang lain.

Bagi memastikan kemujaraban tangkal darah haid itu, ia yang dibalut dalam kertas bertulisan Jawi dicelup di dalam minuman suami.

Apabila meminum air itu, suami menjadi lemah, tidak mampu melawan kata-kata isteri, menurut arahannya atau menjadi pak turut, selain mengalami sakit badan dan kepala serta jiwa yang tidak tenteram
Apabila meminum air itu, suami menjadi lemah, tidak mampu melawan kata-kata isteri, menurut arahannya atau menjadi pak turut, selain mengalami sakit badan dan kepala serta jiwa yang tidak tenteram

Kesengsaraan itu diceritakan seorang suami yang mahu dikenali sebagai Halim, 30-an, apabila menjadi mangsa sihir isteri sejak lima tahun lalu.
Dia yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, mendakwa menjadi mangsa kezaliman isterinya sejak sebelum berkahwin sehingga rahsia ilmu hitam yang dipraktikkan itu terbongkar Disember lalu.

Katanya, dia terkejut apabila menemui pelbagai jenis tangkal yang disimpan di rumah, termasuk didakwa darah haid yang digunakan untuk menundukkannya.

"Selama ini memang banyak perubahan berlaku pada diri saya. Saya jadi malas hendak bekerja, bila bergaduh dengan isteri saya cepat mengalah meskipun ada ketika dia salah, selalu sakit badan dan kepala, manakala hati selalu tidak tenteram.

"Segala masalah itu terbongkar apabila saya menemui nota jampi serapah di atas meja isteri. Hasil pencarian di dalam rumah, saya menemui pelbagai jenis tangkal yang dia simpan rapi di dalam sebuah kotak.

"Saya turut menemui SMS isteri yang dipercayai menjalin hubungan sulit dengan suami orang yang juga pelanggannya. Sebenarnya dia mahu kelihatan berkuasa dan pernah berkata kepada saya, jika dia hendak sesuatu dia akan lakukan walau apa cara sekalipun. Mungkin kerana itu, saya menjadi sasaran," katanya.

Halim berkata, dia ada bertanya isterinya mengapa sanggup berbuat demikian, tetapi seperti diduga wanita itu menafikan dia melakukan perbuatan berkenaan.

"Menurut sepupu saya, sebelum kami berkahwin lagi isteri saya sediakan sejenis air untuk saya yang tidak diketahui tujuan. Rakan yang pernah datang ke rumah kami juga berasa tidak sedap hati apabila hendak masuk.

"Apabila saya bertanya isteri, dia tak mengaku dengan memberi pelbagai alasan. Saya tidak tahu mengapa dia sampai hati menyihir saya," katanya.

Menurut Halim, akibat perbuatan isteri, kerjayanya sebagai perunding dana amanah terjejas sehingga bayaran bulanan rumah tertunggak sembilan bulan.

Hutang kad kredit juga bertimbun, manakala keretanya hanya menunggu masa untuk ditarik kerana ansuran bulanan tidak dijelaskan.

"Kerja saya terjejas teruk. Jika dulu pendapatan mencecah RM20,000 tetapi sekarang jauh merosot, malah pernah dapat tidak sampai RM2,000 sebulan. Apabila hendak jumpa orang, saya malas pergi apabila tiba masanya.

"Sebaliknya isteri saya yang bekerja bidang sama mampu memperoleh RM20,000 ke RM50,000 sebulan, malah dalam bidang ini dia terkenal antara yang berjaya mencatat perolehan tertinggi," katanya.

Halim berkata, apabila keadaan itu berlaku isterinya hidup dalam serba kemewahan, tetapi dia sebaliknya.

"Apabila isteri hidup dalam keadaan bertuhankan duit, dia mula berubah, rasa diri hebat, bongkak, meninggi diri serta sombong. Saya seperti orang suruhan dia. Begitupun sebagai suami, saya masih menjalankan tugas dan tanggungjawab saya," katanya.

Menurutnya, selepas mengetahui dirinya disihir, dia menemui empat bomoh, termasuk pakar perubatan Islam, untuk membuang sihir berkenaan.

"Ada yang saya jumpa beritahu, saya sudah lama kena (sihir). Melalui seorang ustaz, saya diberitahu, dalam satu tangkal, isteri saya menggunakan darah haidnya manakala tangkal lain menggunakan minyak kelapa, kertas wafak yang didakwa ada jin serta tulisan jampi serapah. Ada juga memberitahu, tangkal itu dihasilkan daripada air mani gajah," katanya.

Menurutnya, tangkal berkenaan diserahkan kepada pengamal perubatan Islam untuk `dimatikan' sihirnya dan dia kini masih mendapatkan rawatan pemulihan berterusan.

"Saya masih sayangkan isteri demi anak kami yang berusia tiga tahun dan dia pula kini mengandung tiga bulan. Malah kami masih tinggal bersama meskipun tidak sehaluan.

"Namun, melihat isteri semakin jauh menyimpang, saya tiada pilihan selain memfailkan permohonan nusyuz di mahkamah dalam masa terdekat," katanya.

Halim yang berharap akan pulih segera daripada ilmu hitam itu merancang membina kembali kerjayanya, selain hidup dalam keadaan tenang dan bahagia.

------------ --------- --------- --------- --------- --------- -
KUALA LUMPUR: Penggunaan darah haid sebagai bahan sihir bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pelbagai lagi bahagian anggota badan wanita digunakan untuk tujuan itu.

Selain darah haid, cebisan kuku yang dijadikan serbuk serta wap air yang dihasilkan di celah kangkang wanita sering digunakan sebagai ramuan sihir untuk menundukkan suami atau lelaki yang menjadi sasaran.

Pengamal perubatan Islam, Hanafi Abdul Malek, berkata darah haid, air celah kangkang dan kuku dianggap pengamal ilmu hitam sebagai bahan paling mujarab dalam proses sihir untuk menunduk atau melemahkan lelaki.

Menurutnya, kaedah ilmu hitam menggunakan air celah kangkang dianggap paling menakutkan kerana ia boleh menjadikan seorang itu dalam keadaan tidak mampu berfikir secara rasional.

“Air celah kangkang atau biasa kita dengar nasi kangkang dihasilkan daripada wap air melalui air panas yang diletakkan di bawah kangkang. Namun, ia sangat berbahaya sehingga boleh menjadikan seseorang itu menuruti 100 peratus arahan wanita.

“Cebisan kuku pula dihasilkan dengan cara kuku digoreng sehingga hangus dan ditumbuk dijadikan serbuk yang dicampurkan ke dalam air kopi, manakala darah haid yang dibungkus dalam kertas bertulisan Jawi dicelup dalam minuman sebelum diberi kepada suami,” katanya.

Begitupun, Hanafi yang juga Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang) berkata, bahan sihir berkenaan digunakan sekali saja dan selepas itu ia disembunyikan daripada suami.

“Selagi suami tidak jumpa dan menghapuskan sihir itu, selagi itu ia berkesan, tetapi apabila suami menemuinya, ia perlu dibuang di sungai atau air mengalir selain mendapatkan bantuan mereka yang arif,” katanya.

Hanafi yang pernah membuka tangkal berisi darah haid berkata, ketulan kecil darah yang berwarna kehitaman itu dibungkus dengan kertas wafak dan ia dipuja dengan bacaan ayat tertentu.

Berdasarkan pengalamannya, Hanafi berkata, beliau mengendalikan lebih 100 kes sejak tiga tahun lalu berkaitan penggunaan ilmu sihir, sama ada dilakukan suami atau isteri.

Malah, katanya, tidak ketinggalan mereka yang bekerjaya profesional atau berkedudukan tinggi terbabit dalam masalah berkenaan, selain orang biasa.

“Perbuatan sihir ini jelas syirik dan haram tetapi sejak akhir-akhir ini, kes seperti ini kerap diajukan kepada saya. Bukan saja suami mengenakan isteri atau sebaliknya, malah pelbagai sihir lagi digunakan.

“Antaranya, ada yang menggunakan tanah kubur untuk menutup perniagaan orang lain, ayat jampi serapah untuk dikasihi dan menjadi kebal.

“Namun, mereka yang bergelar profesional atau berkedudukan tinggi juga menggunakan sihir ini, sama ada isteri tidak mahu suami berkahwin lain atau suami hendak berkahwin lagi,” katanya.

Menurutnya, punca gejala sihir itu terus berlaku ialah sikap dan kelemahan orang Islam yang mudah percaya perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam.

“Berdasarkan pengalaman saya, mereka yang terbabit dalam perbuatan sihir ini ada kepentingan masing-masing, seperti isteri menundukkan suami, mungkin lelaki itu kaki perempuan atau jika suami mengenakan isteri, mungkin dia mahu kahwin lain tetapi tidak diizinkan.

“Namun saya bimbang kerana seperti diketahui ia syirik dan berdosa besar apabila melakukannya, tetapi ramai tidak menghiraukannya,” katanya.

2 comments:

Anonymous said...

ahaha...geli...kenapa skrg byk org suka bomoh2?

DitO said...

ish..ish..macam2 dah zaman skg..Walau apapun, manusia yg bt dosa ni harus sdr akibatnya nti.Wat goes around comes around.Wat ever it is, kepercayaan kpd Tuhan sbg pelindung kita adalah pendinding kpd sgala niat syaitan.

Post a Comment