Sekolah gigolo


KUALA LUMPUR: Dia hanya mahu menjadi pengiring sosial sambilan, tetapi kursus yang diikutinya mewajibkannya berbogel di depan kamera untuk hidangan mata pelanggan wanita yang kehausan belaian termasuk isteri ahli perniagaan dan VIP.

Apabila berat hati untuk berbuat demikian, lelaki yang mahu dikenali sebagai David dimaklumkan satu daripada syarat ketika berkursus dalam ‘sekolah gigolo’ itu perlu berbogel.

Difahamkan, sindiket pelacuran tempatan dikesan mewujudkan sekolah gigolo itu khusus untuk melatih pemuda tampan yang ingin mencari wang mudah melalui pekerjaan sebagai pelacur sambilan lelaki untuk melayani wanita mewah tapi kesunyian.

Menyedari gambar bogelnya mungkin diedarkan di Internet, apatah lagi boleh mengaibkannya dan keluarga, David segera menarik diri daripada menyertai sekolah gigolo terbabit.




David, 24, ketika mendedahkan kewujudan sekolah gigolo itu kepada Harian Metro, berkata dia terpikat dengan iklan jawatan kosong yang menawarkan kerjaya pengiring sosial sambilan dengan gaji lumayan dan faedah bulanan lain.




Dia yang berasal dari ibu kota, berkata pekerjaan berkenaan hanya dibuka kepada lelaki tampan berusia bawah 24 tahun.

“Saya menghubungi nombor telefon tertera dan dijawab seorang lelaki bernama Sam yang meminta saya menelefon semula, 25 Februari lalu,” katanya.

“Pada hari itu, saya menelefon Sam, tapi rakan sekerjanya menjawab panggilan dan meminta saya datang ke sebuah pusat beli-belah di Cheras,” katanya ketika ditemui bersama Ketua Jabatan Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Di situ, rakan Sam berkenaan sempat mengambil gambar wajahnya menggunakan telefon bimbit.

Bagaimanapun, kata David, perbualan hanya beberapa minit sebelum lelaki itu meminta diri dengan alasan tempat berkenaan tidak sesuai untuk berbincang.

Menurutnya, mereka bertemu kali kedua Sabtu lalu apabila lelaki itu membawanya berjumpa Sam di sebuah pangsapuri di Cheras, kononnya untuk sesi kursus tertutup.

“Sebaik bertemu lelaki berusia 40-an itu, saya diarahkan Sam membuka semua pakaian bagi memudahkan sesi penggambaran dilakukan.

“Sam memberitahu, gambar tubuh saya dalam keadaan telanjang bulat perlu diambil bagi membolehkan pelanggan memilih menerusi katalog album,” katanya.

Dia yang enggan berbogel bagaimanapun akur dengan arahan itu, namun memastikan bahagian alat sulit ditutup dengan tangan.

Sam tidak senang dengan perbuatan David lalu memintanya tidak berasa malu berikutan gambar berkenaan akan dijadikan modal menarik perhatian pelanggan.

David berkata, Sam mendakwa dia boleh mendapat wang mudah dengan hanya menjadi teman sosial di ranjang dengan melayani wanita berusia 30 hingga 40 tahun dengan bayaran perkhidmatan RM300 sejam.

“Syarat terbabit dipersetujui dan Sam meminta saya bersedia menjalankan tugas dalam tempoh beberapa hari. Dia beritahu akan menghubungi saya untuk memberitahu nama dan lokasi pelanggan yang perlu diberi layanan istimewa.

“Selepas pulang ke rumah dan menanti panggilan tugas pertama dengan penuh debaran, saya tiba-tiba terfikir apa akan terjadi jika gambar bogel saya dilihat individu mengenali saya atau disalahgunakan dan dimasukkan ke Internet,” katanya.

Berikutan itu, dia yang bekerja sebagai jurujual menyesal menemui sindiket pelacuran terbabit.

“Ia kesilapan terbesar dilakukan dalam hidup saya. Saya bimbang sindiket pelacuran terbabit memperdagangkan gambar bogel saya hingga sampai ke pengetahuan keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang bekas gigolo yang hanya mahu dikenali sebagai, Pat, 27, mengakui mula terjebak dengan kegiatan pelacur sambilan selepas tertarik tawaran pekerjaan sebagai pengiring sosial.

Menurutnya, tawaran melalui iklan itu membawa kepada perkenalannya dengan seorang lelaki bernama Jimmy yang memintanya datang ke sebuah rumah teres di Sungai Besi untuk berkursus.

“Saya diberikan penerangan tugas ditawarkan lebih kepada gigolo dengan melayan pelanggan wanita pelbagai lapisan dan tahap usia sama ada di hotel, karaoke atau di lokasi ditetapkan.

“Tugas berkenaan dijalankan hampir setiap minggu tanpa mengira masa dan saya diminta sentiasa bersedia untuk dihubungi,” katanya yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran sebuah syarikat alat ganti kenderaan.

Dia terlebih dulu diberi latihan selain diminta berbogel untuk dirakam gambar bagi dimasukkan ke dalam katalog untuk diberikan kepada pelanggan.

“Dua tahun bergelumang kerja kotor itu membuatkan saya mula keliru kerana sudah mempunyai seorang teman wanita dan bakal melangsungkan perkahwinan.

“Walaupun boleh memperoleh pendapatan hingga RM4,000 sebulan, saya berundur November lalu dan menumpukan perhatian kepada rumah tangga,” katanya.

Mengulas kegiatan terbabit, Chong berkata, pihaknya menyedari aktiviti segelintir sindiket gigolo yang berselindung di sebalik kerjaya pengiring sosial.

Dia berkata, golongan pengiring sosial itu bagaimanapun tidak jauh bezanya dengan pelacur berikutan mereka turut menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan dengan menerima bayaran lumayan

0 comments:

Post a Comment