Kekasih zaman sekolah akhirnya bersatu jodoh,Arni dan Wan Mohd Hazrie


Perkenalan mereka di sekolah menengah yang membuahkan bibit cinta, pernah terputus apabila Arni berkahwin dengan vokalis kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman pada 10 Disember 1998 dan dikurniakan dua anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha, 9, serta Puteri Aleefa Antasha, 6.

Sejak itu masing-masing membawa haluan sendiri dan Wan Mohd Hazrie pernah bercinta dengan gadis pilihannya. Dari situ, dia hanya mengikuti perkembangan Arni dari jauh sebagai artis.

Apabila rumah tangga Arni dan Awie berakhir dengan perceraian pada 16 Oktober 2006, ini memudahkan mereka menyambung kembali cinta yang terputus di tengah jalan.

Nyata tiada siapa dapat menyangkal takdir Ilahi apabila hubungan mereka bertaut kembali sehingga disatukan ke jenjang pelamin selepas lebih 10 tahun berpisah dan hanya tiga tahun selepas Arni menjanda. Dengan sekali lafaz, Arni sah menjadi milik Wan Mohd Hazrie.

Pasangan berkenaan dinikahkan Jurunikah Mukim Bukit Besar, Ahmad Awang dengan mas kahwin RM100 dan hantaran RM7,777.77 di Masjid Abidin atau lebih dikenali Masjid Putih, Kuala Terengganu, Terengganu jam 3.40 petang Jumaat lalu. Pihak lelaki menyediakan sembilan dulang hantaran dan dibalas dengan jumlah sama oleh pihak perempuan.

Arni yang kelihatan anggun berbusana rona putih sedondon dengan suaminya, menitiskan air mata kegembiraan selepas akad nikah, manakala Wan Mohd Hazrie menunaikan solat kesyukuran.

Kata Arni, walaupun gementar pada mulanya, dia bersyukur kerana majlis berjalan lancar dan kedua-dua belah keluarga merestui perkahwinan mereka.

"Aleeya dan Aleefa juga menerima baik serta menyukai suami baru saya ini dan akan memanggilnya sebagai papa.

"Kami kenal sejak menuntut di sekolah menengah lagi, tetapi berpisah agak lama sebelum bertemu semula secara kebetulan.







"Saya memilih Hazrie sebagai suami kerana dia seorang yang bertanggungjawab, beriman dan mengambil berat terhadap saya dan keluarga," katanya.





Mengenai kariernya selepas ini, Arni yang popular dengan lagu Cinta Antara Benua dan pernah berlakon filem Bara dan Nafas Cinta berkata, ia bergantung kepada keadaan serta perbincangan bersama suami selepas mereka menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

Sekiranya keadaan memerlukannya berehat dari dunia seni, dia akur dengan keputusan itu. Kata anak kelahiran Kuantan, Pahang pada 12 Julai 1978, dia dan suami belum memutuskan perkara itu.

Malah katanya, mereka juga belum sempat merancang untuk berbulan madu ke mana-mana destinasi kerana terlalu sibuk dengan persiapan perkahwinan.

Sementara itu, Wan Mohd Hazrie yang juga ahli perniagaan berkata, walaupun mereka pernah 'bercinta' dan putus di tengah jalan, dia mengambil masa hampir dua tahun untuk berfikir menyambung kembali hubungan secara serius.

Katanya, mereka mula kenal sejak 1992 sebagai rakan sekolah sebelum cinta berputik. Sejak Arni berkahwin, mereka membawa hal masing-masing. Tetapi dalam masa sama, Wan Mohd Hazrie ada mendengar suara nakal mengatakan dia masih menunggu Arni dan setia dengan cintanya itu, walhal dia sudah mempunyai teman wanita.

Malah ketika Arni berdepan kontroversi mengenai kes penjagaan anak selepas Awie berkahwin dengan pasangan baru, Rozana Misbun, Wan Mohd Hazrie sentiasa menjadi pendamping setia memberi dorongan dan semangat.

Cinta mereka diikat dengan pertunangan yang diadakan secara sederhana dihadiri saudara terdekat pada Januari lalu manakala tarikh 10 April dipilih untuk pernikahan diikuti persandingan mereka pada 11 dan 12 April.

"Apa yang penting, restu serta sokongan kedua-dua belah keluarga memberi harapan dan hikmah kepada saya. Saya terima Arni sebagai jodoh kerana dia seorang yang lemah-lembut, senang berkira dan serasi.

"Saya tidak kisah dan tiada masalah dengan status Arni sebagai artis dan mempunyai dua anak. Saya akan menjaga mereka seperti keluarga sendiri," katanya.

Mengenai karier Arni selepas ini, Wan Mohd Hazrie agak keberatan untuk membenarkan isterinya itu aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian. Tetapi katanya, sekiranya perkara dilakukan Arni tidak bertentangan dengan hukum syarak, dia boleh meneruskannya seperti menjadi model pakaian Islamik.

Sebagai meraikan kedua mempelai, keluarga Arni mengadakan majlis ringkas di kediamannya di Kampung Bukit Depu, sejurus selesai akad nikah untuk keluarga terdekat.

Persandingan pihak lelaki diadakan di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu kelmarin manakala majlis persandingan pihak perempuan untuk tetamu luar diadakan di Anjung Pantai, Seberang Takir, semalam.

Untuk persandingan sebelah lelaki, pasangan ini memilih warna ungu manakala majlis di sebelah perempuan dengan konsep dalam taman dengan pelamin kayu yang unik. Ia dihadiri lebih 1,600 tetamu terdiri daripada sanak-saudara dan sahabat-handai.

Sementara itu, ibu pengantin lelaki, Nor Hayati Mansor, 54, berkata, dia sudah lama mengenali ibu Arni, Noraini Nong, 55, dan sering berkunjung ke rumahnya sebelum ini.

"Saya bersyukur sangat Wan Mohd Hazrie bertemu jodoh dengan Arni yang memang sudah kami kenal dan datang dari keluarga baik-baik.

"Saya harap biarlah jodoh mereka berpanjangan hingga ke akhir hayat dan cepat mendapat zuriat. Kami sekeluarga amat mengalu-alukan kehadiran menantu sulung dan menganggap kedua anak Arni sebagai cucu sendiri," katanya.

0 comments:

Post a Comment