Dua Suspek Kes Nurin Dikehendaki Polis



KUALA LUMPUR: Lakaran imej seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya penduduk tempatan, diedarkan oleh polis bagi siasatan kes penculikan dan pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata lakaran imej dihasilkan selepas menerima maklumat daripada orang ramai.
"Kedua-duanya boleh membantu siasatan kes ini," katanya di Bukit Aman hari ini.


"Lelaki itu berusia antara 35 hingga 40 tahun, tinggi 168cm dan berkulit cerah. Lelaki itu pergi ke kawasan perumahan di Bangsar, bertanya orang ramai bilik untuk disewa bagi dirinya dan anaknya.
"Dia menemui beberapa pemilik rumah beberapa kali dalam tempoh Nurin Jazlin hilang," katanya.
Mengenai lakaran wanita pula, Wan berkata suspek berusia dalam lingkungan 20-an, tinggi 153cm dan mempunyai rambut paras bahu.
"Dia kelihatan berada dekat beg sukan berwarna biru gelap yang dimuatkan mayat Nurin Jazlin dan ditemui di sebuah kedai di Petaling Jaya Utama pada 17 Sept.
"Wanita ini muncul tengah hari, sehari sebelum polis menemui mayat Nurin Jazlin," katanya.

Beliau menggesa mereka yang teringat pernah melihat seseorang yang kelihatan seperti lakaran ini di kawasan tersebut dan membawa beg biru itu antara 16 Sept dan 17 Sept agar segera menghubungi polis.
Ditanya kemungkinan pembabitan sindiket pornografi kanak-kanak di belakang pembunuhan itu, Wan berkata polis menyiasat semua sudut yang mungkin.
Beliau menambah, polis percaya penjenayah terbabit ada hubungan dengan kes-kes pencabulan di Kampung Baru kerana kedua-dua kes tersebut mempunyai persamaan.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut.
Sejak Jun lalu, penjenayah kes cabul Kampung Baru dikehendaki polis bagi kes rogol dua kanak-kanak, masing-masing berusia lima dan enam tahun.
Dengan menjanjinkan mangsa hadiah ais krim jika kanak-kanak itu bersedia membantu mencari kucing yang hilang, suspek melarikan mangsa dengan motosikalnya. Mangsa kemudian dicabul, antaranya dengan memasukkan terung ke dalam kemaluan mangsa sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian.

0 comments:

Post a Comment